Wednesday, May 1, 2013

i Think

I think adalah satu projek untuk  membantu pihak sekolah dengan memupuk kemahiran berfikir; menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat; mahir di dalam menyelesaikan masalah dan berupaya menghasilkan jalan penyelesaian secara kreatif di kalangan murid sekolah.
Jadi di sini ingin cikgu menyeru para pelajar SMK Alor Pongsu mendaftar di i-think ini. Cuma klik pada pautan ini http://www.ithink.org.my dan mendaftar jadi lebih mudah bagi yang telah mempunyai akaun facebook.
Mungkin masih ada lagi yang tidak berapa faham apa sebenarnya i think ini. Mengikut pemerhatian cikgu, i think ini adalah satu laman yang mana kita boleh berkongsi maklumat dengan menghasilkan peta minda. Semua sedia maklum peta minda adalah satu cara kita berfikir dan mencambahkan idea. I think menyediakan ruang dan kemudahan untuk kita menghasilkan peta minda dengan memulakan suatu topik dan ahli lain dapat menyumbang idea pada topik tersebut. Perkongsian maklumat secara cloud ini memang semakin popular akhir - akhir ini seperti apa yang kita dapat lihat pada you tube dan facebook. Peta minda dan bahan - bahan maklumat yang dikongsi di dalam i think ini dapat dikongsi (share) melalui facebook dan apabila pelajar mengambil masa melihat dan membaca maklumat tersebut, di harap dapat menambah pengetahuan yang boleh dimanfaatkan contohnya dalam pembinaan isi bagi karangan bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain. Jom I think!!!!

Monday, April 29, 2013

Peperiksaan Pertengahan Tahun

Bangunlah dari tidur pelajar - pelajar SMKAP sekalian. Peperiksaan Pertengahan Tahun semakin hampir. Bagi yang akan menduduki Peperiksaan berskala besar seperti PMR dan SPM, inilah masanya untuk menilai diri anda sama ada telah benar - benar bersedia untuk menduduki peperiksaan tersebut atau tidak. Bagi menyediakan diri bagi mencapai keputusan yang memberangsangkan, di sini cikgu berkongsi sedikit tips - tips belajar agar dapat dimanfaatkan oleh pelajar.


Pertama – Tidak mensia-siakan biar pun seminit
Seorang pelajar yang cemerlang menggunakan masa yang teruang, masa pertukaran kelas, masa menunggu kereta sewa, masa sebelum hidangan makanan. Mereka boleh membaca satu atau dua soalan objektif atau ulangkaji pelajaran yang telah mereka baca.
Kedua – Membawa buku ke mana sahaja mereka pergi
Amalkan sikap membawa buku setiap ketika. Sikap ini bukan bermaksud kita mesti membaca buku tersebut. Kemungkinan diri anda tidak membaca apa-apa , tetapi ia memupuk jiwa bersungguh-sungguh dengan kewajipan terhadap pelajaran. Sikap ini membolehkan anda menyemai budaya belajar yang positif dan sikap bertanggungjawab terhadap pelajaran.
Ketiga – Gunakan masa awal pagi
Gunakan sepenuhnya masa awal pagi untuk mengulangkaji pelajaran yang anda lemah. Pupukan semangat belajar pada awal pagi biar pun anda tidak terasa mahu membaca. Usaha ini akan menyemai semangat yang kental terhadap pelajaran dan membolehkan anda mulakan hari tersebut dengan azam untuk berjaya.
Keempat – Buat nota ringkas
Pelajar yang cemerlang sentiasa membuat nota ringkas. Nota tersebut adalah untuk membolehkan anda merujuk kembali apa yang telah anda baca. Ia tidak menjamin ingatan anda tetapi ia meningkatkan kuasa ingatan anda. Dengan adanya nota ringkas, ulangkaji sehari sebelum peperiksaan menjadi lebih mudah.
Kelima – Mengikut jadual sepenuhnya
Aturkan masa untuk setiap aktiviti yang anda hendak lakukan pada hari tersebut. Patuhi jadual belajar anda tanpa syarat. Jangan ikut perasaan. Biar pun anda tidak suka belajar pada sesuatu masa, buka sahaj buku dan membacanya. Jika anda mempunyai disiplin yang kuat terhadap hidup, anda tidak akan lalai terhadap tanggung-jawab belajar. Pastikan anda peruntukkan masa untuk setiap mata pelajaran pada setiap hari jika anda mahu mencapai kegemilangan dalam semua mata pelajaran.
Keenam – Mencuba soalan tahun lalu
Pelajar cemerlang memperuntukkan masa untuk menjawa contoh soalan setiap hari. Ini akan membiasakan dirinya dengan corak soalan yang sering keluar dalam peperiksaan dan bagaimana menjawabnya. Pelajar yang hanya begitu kepada buku teks tidak akan lulus dengan cemerlang kerana mereka tidak biasa dengan corak soalan peperiksaan.
Ketujuh – Ulang sebanyak kali yang boleh
Setiap fakta yang dibaca akan terus diulang sebanyak yang mampu. Tidak ada had ulangan yang akn dilakukan, Selagi ada masa, anda boleh mengulangi apa yang telah dibaca biar pun anda sudah faham atau sudah mengingatinya. Semakin banyak anda membaca, semakin tinggi keyakinan diri anda untuk lulus dengan cemerlang.
Kelapan – Sentiasa menanya kalau tidak faham
Dekatkan diri dengan guru dan guna setiap kesempatan yang ada untuk menjawab kemusykilan anda. Biar pun anda sudah faham , anda masih boleh menanya. Ini akan menguatkan kefahaman dan ingatan anda. Anggapkan guru anda, kakak atau abang anda, kawan-kawan anda sebagai orang yang boleh membantu anda dalam hal ini.

Kesembilan : Berikan penumpuan pada pelajaran yang lemah

Jika anda lemah dalam bahasa Inggeris atau matematik, peruntukkan masa yang lebih untuk ulangkaji. Elakkan memilih mata pelajaran yang disukai dan abaikan mata pelajaran yang anda kurang suka. Buat tanda pada bahagian yang anda rasa perlu penumpuan lebih. Gunakan simbol dan lorekkan bahagian yang anda anggap penting. Jangan jadikan tidak faham, tidak ingat atau tidak pandai sebagai alasan untuk berhenti ulangkaji.
Ke sepuluh : Mengunjungi perpustakaan
Rapatkan dengan kawan yang mahu belajar. Perhatikan bagaimana mereka belajar dan semarakkan jiwa yang kuat seperti mereka. Tukar pendapat antara satu sama lain. Berikan penemuan dan berkongsi soalan yang anda buat dengan mereka. Ini akan mengaktifan suasana tolong menolong dalam haluan memajukan pelajaran masing-masing.

Ke sebelas : Menjadi model dalam rumah

Jadikan diri anda sebagai contoh kepada adik-adik lain. Beritahu mereka “Jangan membuang masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak menyumbang kepada masa depan.” Semakin anda memberi galakan untuk mereka , semakin tinggi semangat anda untuk menjadi contoh kepada mereka. Apa yang anda serukan akan menjadi panduan dalam hidup anda sendiri.
Ke dua belas : Imbangkan masa kokorikulum dan akademik
Jika anda berada dalam tahun peperiksaan , jangan terlalu menumpukan perhatian pada kokorikulum kerana ini akan melalaikan diri dalam bidang akademik. Jika anda mahu berjaya dalam akademik, anda perlu mempunyai masa ulangkaji yang cukup di rumah. Masa ulangkaji untuk SPM ialah dalam lingkungan 5 jam ke 6 jam sehari. Jika masa minima tersebut tidak dipenuhi, anda mungkin perlu berjaga malam atau bangun pagi.
Ke tiga belas : Belajar mengikut rentak sendiri 
Jangan membandingkan diri dengan pelajar yang mantap dalam prestasi peperiksaan. Anda perlu mebgenal rentak sendiri dan pastikan anda mematuhi rentak tersebut. Jika anda seorang pelupa, pastikan anda mengatur masa ulangkaji kedua atau ketiga pada minggu-minggu yang akan datang. Jika anda perlukan bimbingan tambahan , dapatkan tuisyen.

Ke empat belas : Persiapan minda sebelum ulangkaji 

Lelapkan mata untuk beberapa minit dan wawasankan hidup anda kelak. Apa yang anda hendak capai. Apakah corak hidup yang anda hajatkan. Apakah yang hendak anda berikan kepada ahli keluarga serta ibu bapa anda sebagai tanda kasih sayang dan terima kasih. Adakah anda berhajat hendak mengharumkan nama keluarga dan negara anda ? Apakah kejayaan peringkat remaja yang membanggakan diri anda dan keluarga anda? Bila anda membaca buku, kaitkan dengan hidup anda. Anda bukan sekadar mahu lulus cemerlang dalam peperiksaan , anda mahukan hidup yang baik dan berkualiti.
Ke lima belas : Elakkan gangguan emosi
Semua perkara yang merunsingkan dan mengganggu konsentrasi waktu belajar perlu diketepikan. Beritahu diri anda , “saya tidak relakan masa depan saya tergadai oleh okr yang remeh-temeh ini.” Sebaik pemikiran atau perasaan negatif timbul, tuliskan pada kertas . Layankan semua gangguan ini selepas peperiksaan. Anda boleh gunakan musik latar yang lembut untuk menjadikan suasana belajar lebih menyelerakan (jika sesuai).

Ke enam belas : Kurangkan kerja rumah tangga 

Jika anda pada tahun peperiksaan , maklumkan hajat anda untuk berjaya dan minta adik-adik anda menolong anda dalam beberapa aspek kerja rumah tangga. Amalkan sikap tolong menolong dalam keluarga. Bila masanya mereka yang menduduki peperiksaan SPM, sama-sama menolong dirinya. Budaya berkongsi beban kerja rumah tangga seperti mencuci kasut, menyapu lantai dan lain-lain akan memberi lebih masa untuk anda belajar.
Ke tujuh belas : Rancangkan jadual ulangkaji setahun
Tetapkan ulangkaji anda sehingga bulan September. Sebulan sebelum peperiksaan , anda perlu siap ulangkaji. Pastikan setiap mukasurat dibaca, dan setiap soalan dijawab. Ini boleh dilakukan dengan membahagikan bilangan mukasurat buku dengan bilangan hari yang ada. Jika anda gagal mengulangkaji mukasurat berkenaan pada hari yang ditetapkanm pangkahkan dengan besar menggunakan pensil. Pastikan anda membaca mukasurat ini sebelum peperiksaan tiba. Tapi, sebelum anda membaca mukasurat yang terhutang, pastikan anda telah siap ulangkaji mukasurat yang ditetapkan untuk hari tersebut.
Ke lapan belas : Belajar menyesuikan diri dengan semua keadaan
Biar pun rumah anda bising, panas atau kurang selesa; ia tidak menjadi penghalang untuk anda mengulangkaji. Kadang-kadang , kita perlu belajar menyesuikan diri dengan kekurangan yang ada. Semakin mencabar keadaan anda , semakin besar ujian ketahanan diri anda. Beritahu diri anda , “biar apa yang berlaku, saya tetap dapat menjalankan tugas saya kerana saya seorang yang tahan lasak.”
Ke sembilan beas : Berhati-hati dengan kawan yang tidak sehaluan dengan anda 
Jika anda mahu belajar tetapi rakan-rakan anda tidak suka belajar. Mereka cuba mempengaruhi anda dengan seribu satu jenis kegiatan yang hanya membuangkan masa anda. Berani berkata “tidak” dan menolak mereka dengan lembut. Jangan sekali-kali menjadi mangsa kepada mereka kononnya anda tidak mahu melukakan hati mereka. Jika anda mengikut rentak mereka, anda akan melukakan masa depan sendiri.
Ke dua puluh : Terus belajar biar pun tidak menampakkan kemajuan
Jangan mengukur prestasi anda kerana tidak menampakkan kemajuan yang nyata dalam keputusan peperiksaan sekolah. Setelah berbulan-bulan anda bertungkus-lumus, anda mungkin mahu kemajuan dalam keputusan sekolah. Sebenarnya, penilaian sekolah tidak menggambarkan anda pasti akan lulus atau gagal dalam peperiksaan akhir tahun. Teruskan usaha dan jangan berhenti.
Ke dua puluh satu : Terokai bakat dan minat anda
Sambil anda berjuang untuk peperiksaan SPM, peruntukkan masa juga untuk bidang yang anda hendak ceburi. Mungkin anda minat dengan bidang kedoktoran, baca majalah dan bahan rujukan am yang berkaitan dengan cita-cita anda tersebut. Gunakan bakat anda untuk berbakti kepada keluarga atau sekolah anda. Jika anda minat dalam bidang kejuruteraan, peruntukkan masa untuk belajar membaiki kereta atau anda juga boleh menolong kawan anda membaiki kereta mereka. Kegiatan sedemikian menjadikan makna pembelajaran lebih nyata. Anda tahu mengapa anda belajar kerana anda mempunyai hala tujuan yang nyata.
Kesimpulan 
Belajar adalah suatu seni. Jika anda tahu menguasai seni tersebut , anda boleh berjaya biar pun diri anda mempunyai beberapa kekurangan. Semoga lembaran ini menguatkan ikhtizam anda untuk mencapai prestasi yang lebih cemerlang dalam pelajaran.

Sesi Fotografi Gambar bagi Kelab dan Persatuan

Pada hari Rabu, 24 April yang lalu sesi fotografi bagi kelab dan persatuan telah diadakan. Atas faktor - faktor yang tidak dapat dielakkan, beberapa kelab dan persatuan masih belum dapat di ambil gambar. Sesi yang kedua akan diadakan pada perjumpaan Kelab dan persatuan yang seterusnya.

Kelab Fotografi mengucapkan terima kasih di atas kerjasama guru penasihat, Ahli Jawatan Kuasa dan ahli - ahli kelab dan persatuan lain yang telah memberikan kerjasama.

Berikut merupakan gambar pemandangan sekolah yang telah diambil oleh ahli kelab fotografi bagi mengabadikan gambar sekolah dalam penambahbaikan. Gambar - gambar akan di muat naik lagi dari masa ke semasa.




Minggu Votek SMK Alor Pongsu

Bermula 29 April, berlangsung minggu Votek SMK Alor Pongsu seusai sudah majlis pelancarannya pada Perhimpunan Mingguan  pada pagi Isnin tersebut. Minggu ini dihayati dengan susunan program - program yang dapat disertai oleh para pelajar yang pastinya memberi manfaat dan menarik. Kebanyakan aktiviti akan dijalankan pada waktu petang selepas waktu persekolahan. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila hubungi cikgu Yani selaku Guru Kanan Vokasional SMK Alor Pongsu.

Sunday, April 21, 2013

Earth Day (Hari Bumi)

Sempena menyambut Hari Bumi 2013,pihak sekolah menyeru para pelajar memastikan sepanjang minggu ini kita bersama - sama berfikir sejenak berkenaan bumi kita. Apa yang kita dapat lakukan untuk bumi kita. Antara aktiviti yang dapat kita lakukan bagi menunjukkan keprihatinan kita adalah: 1. Membuang sampah ke dalam tong sampah 2. Mengurangkan penghasilan sampah berpunca dari diri sendiri 3. Menanam pokok 4. Mengamalkan kitar semula, contohnya mengumpul plastik botol mineral dan mengubahsuai menjadi bahan yang bermanfaat

Sekitar Hari Anugerah Kurikulum

PN Hjh Norhidayah, Bekas Pengetua SMK Alor Pongsu bersama penerima Anugerah Khas Pengetua Rozaidi
Rozaidi dan Waliuddin, Anugerah Pengetua dan Sahsiah Terbaik Lelaki
Taekwondo ITF SMK Alor Pongsu
Kumpulan Far Hunt membuat persembahan nasyid
Tahniah Tingkatan 4 kerana berjaya membuat persembahan Choral Speaking  yang menarik
Pengetua SMK Alor Pongsu, Hajah Saemah
Khairi Ali Jobran
Nasaruddin
Bacaan Doa oleh ustaz Zawawi

Tuesday, April 16, 2013

Hari Anugerah Kurikulum SMK Alor Pongsu 2013

Majlis Hari Anugerah Kurikulum SMK Alor Pongsu akan di adakan pada 18 April 2013 bersamaan hari Khamis bagi memberi pengiktirafan kepada para pelajar yang cemerlang dalam SPM, PMR dan peperiksaan juga pentaksiran yang telah dijalankan.